Friday, December 5, 2008

Usman Awang

Minggu lalu pada 29 November saya telah menghadiri majlis memperingati Allahyarham Dato' Usman Awang, Sastrawan Negara dengan nama pena Tongkat Waran, atas jemputan oleh anak sulungnya Haslina Usman sempena 7 tahun pemergiannya.

Apa yang menakjubkan pada majlis yang dianjurkan oleh UA Enterprise ialah penaja utamanya ialah sebuah syarikat milik orang Cina, dirasmikan oleh kedutaan China (PRC) dan diadakan di Hotel milik kaum Cina.

Dan lebih menakjubkan ialah ucaptama perasmian telah dibacakan oleh wakil Duta Besar yang datang dari Republik Rakyat Cina, dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar tetamu juga adalah dari kalangan kaum Cina.

Lebih hebat lagi acaranya banyak dipersembahkan oleh kaum Cina, terdiri dari penulis kaum cina, nyanyian lirik lagu ciptaannya oleh penyanyi cina, deklamasi oleh pelajar cina dan juga oleh Dr Lim Swee Tin. Selain dari persembahan oleh seperti Uji Rashid dan anaknya untuk lagu Uda & Dara, dan penyair tempatan yang lain.

Apa yang ingin saya sampaikan disini ialah betapa kita boleh hidup bersama tanpa memikirkan ketuanan Melayu atau isu-isu kaum pendatang. Bukankah hidup kita ini akan lebih harmoni? Walaupun beliau telah tiada tapi lihatlah betapa usahanya semasa hayatnya masih dikenang dan dapat menghubungkan dua kaum tanpa rasa sangsi atau ada permusuhan.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Dato' Usman Awang, Sastrawan Negara dan Pak Ngah aku.

No comments: